Jumaat, Oktober 30, 2009

Titipan Doa

Ya Allah.... Seandainya telah engkau catatkan... Dia milikku tercipta buatku... Satukanlah hatinya dengan hatiku... Titipkanlah kebahagian antara kami.... agar kemesraan itu abadi... Dan ya Allah... ya Tuhanku yang Maha Mengasihi... Seiringkanlah kami melayari hidup ini... Ketepian yang sejahtera dan abadi... 

Tetapi ya Allah... Seandainya telah engkau takdirkan.... dia bukan miliku... Bawalah ia jauh dari pandanganku.... Luputkanlah ia dari ingatanku... Dan peliharalah aku dari kekecewaan.... 

Serta ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti.... Berikanlah aku kekuatan... Melontar bayangannya jauh ke dada langit... Hilang bersama senja nan merah.. agarku bisa bahagia... Walaupun tanpa bersama dengannya... 

Dan ya Allah yang tercinta... Gantillah yang telah hilang.... Tumbuhkanlah kembali yang telah patah... Walaupun tidak sama dengan dirinya... 

Ya Allah ya Tuhanku... Pasrahkanlah aku dengan takdirMu... Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan... Adalah yang terbaik buat ku.... kerana Engkau Maha Mengetahui... Segala yang terbaik buat hamba Mu ini... 

Ya Allah... Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku... Di dunia dan di akhirat... Dengarlah rintihan dari hamba Mu yang daif ini... Jangan Engkau biarkan aku sendirian... Di dunia ini mahupun di akhirat... Serta janganlah menjuruskan aku kearah kemaksiatan dan kemungkaran... 

Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman... Supaya aku dan dia sama2 dapat membina Kesejahteraan hidup... Ke jalan yang Engkau redhai... dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh....

Rabu, Oktober 14, 2009

Epigram Seorang Hamba

Ku basuh tangan dalam aliran air mutlak melafaz niat membasuh muka
Sambil dalam hati berdoa moga diputihkan muka di mahsyar sana
Dan pohon tangan kanan yang kubasuh hingga ke siku
Bakal jadi penerima amalan selama di dunia
Dan ubun-ubun yang kualir wuduk padanya
Akan terlindung dari panas mentari yang sejengkal cuma
Juga kaki kanan bakal ditetapkan
Tika melintasi titian Siratulmustaqim
Merentangi neraka panas membara

Berdiri dalam pakaian putih bersih
Dalam qiam ku bulatkan hati
Memusatkan minda hanya pada-Nya
Pohon di putuskan dari lingkaran duniawi
Kerna, aku ingin merasa nikmat
Lazatnya ibadah mengadap Allah
Aku ingin yang ada Hanya aku dan Dia yang maha mendengar
Seperti Dia sedang ku pandang,
Dan Dia memandangku dengan ihsan dan kasih-sayang

Tuhan yang kusembah
Tempat ku berserah merayu kala hatiku gundah
Yang ku terima dengan redha qada dan qadar-Nya
Dengan rendah hati seorang hamba
Dalam rukuk dan sujud
Ku letakkan diri sekerdil mungkin
Sambil mulut basah dengan pujian pada-Nya
Berteleku antara dua sujud

Kyusu’ mengharap ampunan dan belas ihsan Allah yang maha penyayang
Bersimpuh dalam Tahiyyat
Kupacakkan ibu jari kakiku, juga telunjuk mengiyakan Shahadat
Merendahkan diri dalam lafaz pujian
Memuliakan Junjungan s.a.w.
Kusempurnakan solat seusai dua salam

Tenggelam dalam lafaz istighfar
Memohon ampun pada-Nya atas dosa dan khilaf seorang hamba
Yang hina lagi tak sempurna
Maka, ku tadah dua tangan
Memohon doa dengan sesungguhnya
Merayu dan mendayu
Penyesalan yang bersatu dalam rasa dan minda
Seiring derai airmata Ya Allah Ku pohon ampun Ya Rabbi
Atas dosa dan kekurangan diri
Kerna sesungguhnya aku hamba yang menzalimi diri sendiri
Moga janganlah Kau bebani aku
Dengan ujian yang diluar kesanggupan diri
Dan Kau tetapkan kalbuku yang Kau miliki
Agar teguh dengan petunjuk yang Kau beri
Rahmatilah ibubapaku, guru-guruku dan sahabat perjuanganku
Juga diriku yang tidak layak meminta
Dalam pelukan kasih sayangMu
Yang melindungi kami dari panas neraka yang membara
Kerna aku hanya ingin hidup dan mati
Di dalam pelukan agama
Yang Engkau redhai

Rabu, Oktober 07, 2009

Ketawa Penawar Duka 2

Ada satu bas sarat dengan ahli politik yang ingin menghadiri mesyuarat perwakilan. Ketika dalam perjalanan, bas mereka terbabas dan terbalik. Peristiwa itu tidak disaksikan oleh sesiapapun kecuali seorang pakcik tua, si tukang kebun. Tanpa membuang masa, pakcik itu membuat satu lubang besar dan menanam semua mangsa kejadian tersebut. Sejurus selepas itu, datang polis ke tempat kemalangan untuk membuat siasatan lanjut. Maka pakcik itu pun disoal siasat untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang kejadian itu. Berlakulah perbualan antara mereka:

"Pakcik ke yang tanam semua mangsa tu tadi?" tanya pegawai polis.

"Yela, saya guna cangkul ni Tuan," jawab pakcik itu sambil menunjukkan cangkul di tangannya.

"Owh, amat luar biasa tindakan pakcik tu. Takda ke mangsa yang hidup? Semua ditanam?" polis bertanya lagi.

"Semua saya tanam. Entah la ada lagi tak yang hidup, tapi masa saya tanam tadi ada bunyi tiga empat orang cakap jangan tanam diaorang. Tapi Tuan tau sajalah kan, kata-kata ahli politik ni mana ada boleh percaya. Saya buat tak tau jela." pakcik itu menjawab sambil senyum.

"Err????" pegawai itu tercengang sambil menggaru kepalanya.






Selasa, September 29, 2009

Peringatan Untuk Diri Ini: Kisah Luqman Al-Hakim

Tersebutlah suatu kisah, mengembaralah Luqman Al-Hakim bersama anaknya berkenderaankan seekor keldai tua. Mulanya mereka masuk ke sebuah perkampungan. Masa itu Luqman menunggang keldai dan anaknya berjalan membawa keldai itu. Maka berkatalah orang-orang kampung tentang kejamnya seorang ayah yang membiarkan anaknya berjalan, sedangkan dia yang lebih tua senang-lenang di atas keldai. Mendengarkan kata-kata itu, Luqman berasa tidak selesa, dia pun bertukar dengan anaknya, anaknya pula yang menaiki keldai. Masuklah mereka ke kampung yang kedua.

Di kampung yang kedua ini, kedengaran pula kejian orang-orang kampung terhadap mereka berdua. Mereka mengejek anaknya dengan mengatakan apalah teruknya seorang anak yang membiarkan ayahnya yang tua dan tidak larat berjalan, sedangkan dia yang muda dan bertenaga menaiki keldai. Mendengarkan kata-kata itu,
Luqman berasa tidak senang hati. Dia pun menukar pula,kali ini kedua-dua dia dan anaknya duduk di atas keldai. Masuklah mereka ke kampung yang ketiga.

Di kampung ini, Luqman dan anaknya sekali lagi
di ejek. Orang-orang kampung yang melihat mereka mengatakan bahawa alangkah tidak berperikemanusiaannya ayah dan anak itu kerana bertindak zalim terhadap seekor keldai yang sudah tua dan uzur. Mendengarkan kata-kata itu, Luqman berasa sedih. Dia pun menukarkan supaya dia dan anaknya berjalan di bawah membawa keldai tersebut. Perjalanan diteruskan, masuklah mereka berdua ke kampung yang keempat.

Di kampung itu, berkata-kata pula orang-orang kampung tentang bodoh dan tidak berakalnya kedua-dua orang itu yang mempunyai tunggangan tetapi tidak digunakan sebaiknya. Tersenyumlah Luqman Al-Hakim dan berkatalah dia kepada anaknya, "Wahai anakku, walau bagaimana betul pun kita, orang sekeliling tet
ap akan ada yang mengutuk dan mengata. Sesungguhnya lidah manusia itu lebih tajam dari sebilah pedang yang dapat membunuh. Ingatlah anakku, selagi mana perkara yang kita buat itu tidak bertentangan dengan aturan Allah SWT dan Rasul-Nya, janganlah kita terlalu mengambil endah kata-kata orang yang mengeji, kerana keredhaan mereka bukan yang kita cari, tetapi keredhaan Tuhan dan Rasul-Nya jua."

Ingatan ini untuk diri ini supaya selalu beringat bahawasanya sebanyak mana orang yang suka dan sanjung diri ini, sebanyak itulah juga orang yang benci dan irihati dengan diri ini.


p/s: Kerana pulut santan binasa, kerana mulut bad
an binasa.




Ahad, September 27, 2009

Peringatan Untuk Diri Ini: Apa yang dok sibuk mengata?

Tengok orang dok buat salah kita dok sibuk mengata.
Kalau yakin kita tak akan buat benda-benda tu semua dalam seumur hidup kita, boleh la! Buat apa nak mengata, kalau berani sangat pergila tegur dia. Dok sibuk mengata bukan boleh ubah dia pun. Ingatlah, tengok dengan mata jangan mudah percaya.

Tengok orang buat dosa kita dok sibuk mengata.
Cuba fikir sikit, kita lahir-lahir mak ayah dah ajar benda-benda baik, hormat orang, jangan minum arak, jangan hisap dadah, jangan melacur, dan lain-lain yang sewaktu dengannya, tetapi bagaimana pula orang yang lahir-lahir saja ke dunia dah hidup dengan mak ayah yang macam tu? Kalau benda tu semua sampai kat kita, mampu ke nak tolak? Belajar bersyukur dengan rahmat dan hidayah yang Tuhan kurnia pada kita, daripada kita dok sibuk mengata.

Tengok orang tak solat kita dok sibuk mengata.
Betul ke dia tak solat? Ntah-ntah masa kita tengok saja dia tak solat, masa lain dia solat, kita bukan 24 jam dok dengan dia. Ingatlah, ibadat itu bukan untuk manusia tengok, tapi yang menilai ibadat kita itu Allah SWT Yang Maha Mengetahui.

Dengar-dengar cerita orang kita dah sibuk dok mengata.
Bukan itu saja, kita siap tambah perasa. Ntah apa yang didengar itu betul atau tak kita sendiri pun tak tahu. Cubalah kawal lidah kita, kerana ramai yang masuk neraka sebab lidah dia. Dengar dengan telinga jangan mudah percaya, gunalah akal kita dengan sebaiknya.

Apa yang kita dok sibuk mengata orang? Cuba cermin dan lihat diri sendiri, cukup sempurna ke kita nak mengata orang lain? Tak berbuat noda dan dosa ke kita? Setiap manusia ada kekurangan dan kelebihannya. Kita manusia yang ada nafsu, kadang-kadang tak terlepas juga dari berbuat dosa, dalam kita sedar ataupun tidak.

Tengok itu salah, tengok ini salah, dengar itu salah, dengar ini salah, tak ada ke yang betul bagi kita? Bersangka baiklah setiap masa..insyaAllah kita akan nampak yang baik...
Jadi, tak perlulah mengata...



p/s : baca dengan penuh emo..haha

Rabu, September 23, 2009

Ceritera Empat Unsur

Apabila air membesarkan dirinya, telah dikatakan kepadanya engkau berbangga untuk apakah?? Sedangkan engkau itu sekadar digunapakai untuk membasuh najis manusia. Tunduk malu air mengaku menjadi hamba Allah SWT.

Apabila angin membesarkan dirinya, telah dikatakan kepadanya engkau berbangga untuk apakah?? Sedangkan engkau itu sekadar digunapakai untuk kapal-kapal manusia berlayar di laut.
Tunduk malu angin mengaku menjadi hamba Allah SWT.

Apabila ditanya kepada api, untuk apa engkau berbangga?? Sedangkan engkau itu sekadar digunapakai untuk manusia memasak makanan.
Tunduk malu api mengaku menjadi hamba Allah SWT.

Tanah tidak membesarkan dirinya,malah tunduk malu, sopan merendahkan dirinya, mengaku menjadi hamba Yang Maha Esa. Maka tanah diguna sebagai bahan utama untuk menempa lembaga Adam.


p/s: Manusia asal kejadian daripada tanah, darah manusia itu daripada air, air dipam oleh angin, haba itu daripada api.

Ahad, September 20, 2009

Peringatan Untuk Diri Ini: Janganlah...

Janganlah jadikan dunia ini syurga kerana ia hanyalah penjara bagi hamba-Nya.


Janganlah memandang keburukan pada ketentuan-Nya kerana ada hikmah di sebalik setiapnya.


Janganlah bersama untuk kehinaan tetapi bersamalah untuk kemuliaan di sisi-Nya.


Janganlah berlagak sombong dan takabur kerana itu bukan pakaian seorang hamba.


Janganlah mencari salah orang lain sedangkan salah diri sendiri diketepikan.


Janganlah membenci sebaliknya perlu menyayangi sesama insan.


Janganlah bergantung hati kepada makhluk tetapi bergantunglah kepada Pencipta.


Janganlah hanya berilmu tetapi beramallah dengannya.


Janganlah meletakkan nafsu lebih tinggi dari akal kerana akal itu tinggi tempatnya.


Janganlah berkata dusta kelak memakan diri.


Janganlah bermadah janji andai diri tidak mampu memenuhi.


Janganlah memegang amanah jika hanya ingin dipuja.


Janganlah apabila melihat orang yang dapat berjalan di air,terbang di langit dan ghaib dari mata itu wali Allah kerana sihir dan syaitan juga mampu melakukannya dengan izin yang Esa.


Janganlah terus menganggap yang buruk apabila melihat cela seseorang kerana kadang-kadang orang itu sengaja menyembunyikan kebaikannya di sebalik cela.


Janganlah mengejar pahala tanpa sedar yang dibuat hanyalah dosa semata-mata.


Janganlah membangkitkan marah orang jika diri sendiri belum mampu kawal amarah diri.


Janganlah bercakap tentang jasa diri sendiri kerana budi diri bukan pada manusia untuk dipuji.


Janganlah jadikan dunia tempat dipuja sedangkan akhirat kelak diri dihina.


Janganlah pandang wujud diri semata-mata sehingga lupa wujud Yang Maha Esa dan lupa diri ini tiada apa-apa.


p/s: jangan-jangan engkau coba...