Sabtu, Julai 25, 2009

Kasih Berpanjangan Seorang Ibu

Seorang Ibu,merupakan pemupuk kasih sayang.Seorang Ibu,orang yang paling layak dicintai setiap manusia.Seorang Ibu,baktinya tidak terkira banyaknya kepada kita.Seorang Ibu,hanya Tuhan Rabbul 'Alamin dapat membalas jasa-jasanya.

Setiap insan di alam ini,mempunyai ibu yang melahirkannya,yang membesarkannya,yang menyusukannya,yang menjaganya dengan penuh kasih sayang,yang mendidiknya menjadi manusia yang berguna,yang sanggup berkorban untuknya,yang hidupnya didedikasikan sepenuhnya untuk anak-anaknya.9 bulan 10 hari seorang Ibu meletakkan hidupnya dalam kepayahan hanya untuk seorang anaknya yang dikasihi.Di saat hendak melahirkan permata hatinya,seorang Ibu mempertaruhkan nyawanya,walaupun dia berhadapan dengan maut.

Bertanya seorang sahabat kepada Rasullullah SAW,tentang lebihnya seorang Ibu berbanding seorang Bapa,Baginda memberi jawapan "IBU",ditanya berkali-kali jawapan Baginda tetap "IBU" dan kemudian baru "BAPA" menyusul.Nescaya sungguh besar kedudukan seseorang Ibu kepada manusia seluruhnya.Sehinggakan syurga yang amat diimpikan setiap mukmin itupun,tempatnya hanyalah di telapak kaki seorang Ibu.

Apakah yang dikatakan Karomah seorang Ibu?
Karomah atau keramat,bermaksud suatu perkara luar biasa yang dikurniakan Allah Azza wa Jalla kepada hamba-hambaNya yang bertakwa,selain Rasul dan Nabi.Karomah terbahagi kepada dua iaitu yang pertamanya karomah zahir seperti berjalan di atas air,mengeluarkan air dari tanah yang kontang dan berbagai lagi perkara yang mencarik adat.Keduanya,adalah karomah batin iaitu karomah yang dirasai dihati orang-orang disekeliling seperti setiap perkataan ataupun tunjuk ajar orang itu diterima tanpa ada sebarang syak wasangka.

Seorang Ibu,karomahnya tidaklah dapat dilihat oleh mata kasar,tetapi dirasai di hati.Bukanlah juga untuk manusia sekelilingnya,tetapi hanya untuk anak-anaknya yang tercinta.Salah satunya,kita ambil contoh yang mudah,yang pastinya dilalui setiap daripada kita,apabila seseorang anaknya di dalam kesulitan dan kesusahan nescaya tidak akan dapat disembunyikan dari naluri seorang Ibu.Walaupun berada beribu-ribu batu jauhnya,seorang Ibu dapat merasai apa yang dirasai anaknya.Begitulah hebatnya karomah seorang Ibu.

Siapa di dunia ini yang apabila kita membuatkan dia menangis walau setitis air mata dan menyakitkan hatinya walau secubit cuma,dihukum dengan siksaan dan balasan yang amat menyakitkan?Siapa di dunia ini yang hanya dengan mengatakan "Ahh" kepadanya,sudah dikira derhaka?Siapa di dunia ini yang hanya dengan setitik air susunya umpama segunung intan permata?Siapa di dunia ini yang kita tidak akan dapat mencium haruman,apatah lagi menghuni syurga jika menderhaka kepadanya?Tak lain dan tak bukan,itulah seorang Ibu.Jasanya kepada kita hanya Tuhan Rabbul 'Alamin sahaja dapat membalasnya.

Pesananku buat teman-temanku, yang dipesan dari arwah Ibuku,"Hargailah seseorang itu ketika dia bersama kita,janganlah kita menyesal dan mencari-cari bila dia meninggalkan kita".Berbuat baiklah kepada Ibu,kerana tanpanya tak mungkin kita lahir ke alam ini.Sayangilah Ibu seperti mana dia menyayangi kita sewaktu kita kecil.Jagailah Ibu seumpama dia menjaga kita bilamana kita ini hanya sebesar telapak tangan.Berbaktilah kepadanya bila-bila masa dia memerlukan.

Tiada ulasan: