Selasa, September 29, 2009

Peringatan Untuk Diri Ini: Kisah Luqman Al-Hakim

Tersebutlah suatu kisah, mengembaralah Luqman Al-Hakim bersama anaknya berkenderaankan seekor keldai tua. Mulanya mereka masuk ke sebuah perkampungan. Masa itu Luqman menunggang keldai dan anaknya berjalan membawa keldai itu. Maka berkatalah orang-orang kampung tentang kejamnya seorang ayah yang membiarkan anaknya berjalan, sedangkan dia yang lebih tua senang-lenang di atas keldai. Mendengarkan kata-kata itu, Luqman berasa tidak selesa, dia pun bertukar dengan anaknya, anaknya pula yang menaiki keldai. Masuklah mereka ke kampung yang kedua.

Di kampung yang kedua ini, kedengaran pula kejian orang-orang kampung terhadap mereka berdua. Mereka mengejek anaknya dengan mengatakan apalah teruknya seorang anak yang membiarkan ayahnya yang tua dan tidak larat berjalan, sedangkan dia yang muda dan bertenaga menaiki keldai. Mendengarkan kata-kata itu,
Luqman berasa tidak senang hati. Dia pun menukar pula,kali ini kedua-dua dia dan anaknya duduk di atas keldai. Masuklah mereka ke kampung yang ketiga.

Di kampung ini, Luqman dan anaknya sekali lagi
di ejek. Orang-orang kampung yang melihat mereka mengatakan bahawa alangkah tidak berperikemanusiaannya ayah dan anak itu kerana bertindak zalim terhadap seekor keldai yang sudah tua dan uzur. Mendengarkan kata-kata itu, Luqman berasa sedih. Dia pun menukarkan supaya dia dan anaknya berjalan di bawah membawa keldai tersebut. Perjalanan diteruskan, masuklah mereka berdua ke kampung yang keempat.

Di kampung itu, berkata-kata pula orang-orang kampung tentang bodoh dan tidak berakalnya kedua-dua orang itu yang mempunyai tunggangan tetapi tidak digunakan sebaiknya. Tersenyumlah Luqman Al-Hakim dan berkatalah dia kepada anaknya, "Wahai anakku, walau bagaimana betul pun kita, orang sekeliling tet
ap akan ada yang mengutuk dan mengata. Sesungguhnya lidah manusia itu lebih tajam dari sebilah pedang yang dapat membunuh. Ingatlah anakku, selagi mana perkara yang kita buat itu tidak bertentangan dengan aturan Allah SWT dan Rasul-Nya, janganlah kita terlalu mengambil endah kata-kata orang yang mengeji, kerana keredhaan mereka bukan yang kita cari, tetapi keredhaan Tuhan dan Rasul-Nya jua."

Ingatan ini untuk diri ini supaya selalu beringat bahawasanya sebanyak mana orang yang suka dan sanjung diri ini, sebanyak itulah juga orang yang benci dan irihati dengan diri ini.


p/s: Kerana pulut santan binasa, kerana mulut bad
an binasa.