Ahad, Disember 27, 2009

-Merepek-

...........
sempurna bicara dengan kata-kata
sempurna perbuatan dengan gerak
sempurna hati dengan ikhlas
diri masih belum sempurna dengan ketiga-tiganya
sedar diri tidak akan pernah sempurna
kerana tiada yang sempurna
melainkan hanya Dia
Yang Maha Sempurna
...........
p/s: lame xupdate rupanye..huhu

Jumaat, November 06, 2009

Sahabat

SAHABAT YANG BAIK 
LAKSANA PENJUAL KASTURI 
SEDIKIT KESANNYA 
KEHARUMAN MELATA 

SAHABAT YANG BAIK 
KEBAIKANNYA JADI TUMPUAN 
KEIMANANNYA TERUS DIGILAPKAN 
KETAQWAANNYA DAPAT DITINGKATKAN 
MENGALAHKAN SYAITAN YANG SIANG 
MALAM BERJUANG MELAWAN KEROSAKAN 

TETAPI, 
SAHABAT YANG BAIK 
RUPA PARAS BUKAN JADI BANDINGAN 
DARJAT & PANGKAT BUKAN SOAL PILIHAN 
YANG MULIA DI HATI BUDI 
ASASNYA IMAN, NERACANYA TAQWA 

SAHABAT YANG BAIK 
IALAH YANG MENEGUR KESILAPANMU 
AGAR IA TIDAK BERULANG 
MELARANGMU DARI MELAKUKAN KEMUNGKARAN 
YANG MENGINGATKANMU DARI KEALPAAN 
TIDAK SETAKAT MENGANGGUKAN KEPALA 
MENGIYAKAN APA YANG KAU KATA 

SAHABAT YANG BAIK 
IALAH DISISIMU PADA SETIAP KEADAAN 
YANG MERAIKANMU PADA SAAT KEGEMBIRAAN 
YANG MENDAMPINGIMU PADA SAAT KESEDIHAN 
YANG SANGGUP BERKONGSI KEPENTINGAN 
MEREALISASIKAN SEBUAH PENGORBANAN 

SAHABAT YANG BAIK 
MALUNYA MENGATASI PERAWAN 
BERANINYA MENGATASI PAHLAWAN 
CINTANYA BUKAN PADA GAMBARAN 
RINDUNYA BUKAN PADA PERTEMUAN 
TETAPI,HATINYA SARAT DENGAN IMAN 
RANTINGNYA IKHLAS 
DAN PUNCAK KEREDHA'ANNYA JADI TUMPUAN 

Jumaat, Oktober 30, 2009

Titipan Doa

Ya Allah.... Seandainya telah engkau catatkan... Dia milikku tercipta buatku... Satukanlah hatinya dengan hatiku... Titipkanlah kebahagian antara kami.... agar kemesraan itu abadi... Dan ya Allah... ya Tuhanku yang Maha Mengasihi... Seiringkanlah kami melayari hidup ini... Ketepian yang sejahtera dan abadi... 

Tetapi ya Allah... Seandainya telah engkau takdirkan.... dia bukan miliku... Bawalah ia jauh dari pandanganku.... Luputkanlah ia dari ingatanku... Dan peliharalah aku dari kekecewaan.... 

Serta ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti.... Berikanlah aku kekuatan... Melontar bayangannya jauh ke dada langit... Hilang bersama senja nan merah.. agarku bisa bahagia... Walaupun tanpa bersama dengannya... 

Dan ya Allah yang tercinta... Gantillah yang telah hilang.... Tumbuhkanlah kembali yang telah patah... Walaupun tidak sama dengan dirinya... 

Ya Allah ya Tuhanku... Pasrahkanlah aku dengan takdirMu... Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan... Adalah yang terbaik buat ku.... kerana Engkau Maha Mengetahui... Segala yang terbaik buat hamba Mu ini... 

Ya Allah... Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku... Di dunia dan di akhirat... Dengarlah rintihan dari hamba Mu yang daif ini... Jangan Engkau biarkan aku sendirian... Di dunia ini mahupun di akhirat... Serta janganlah menjuruskan aku kearah kemaksiatan dan kemungkaran... 

Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman... Supaya aku dan dia sama2 dapat membina Kesejahteraan hidup... Ke jalan yang Engkau redhai... dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh....

Rabu, Oktober 14, 2009

Epigram Seorang Hamba

Ku basuh tangan dalam aliran air mutlak melafaz niat membasuh muka
Sambil dalam hati berdoa moga diputihkan muka di mahsyar sana
Dan pohon tangan kanan yang kubasuh hingga ke siku
Bakal jadi penerima amalan selama di dunia
Dan ubun-ubun yang kualir wuduk padanya
Akan terlindung dari panas mentari yang sejengkal cuma
Juga kaki kanan bakal ditetapkan
Tika melintasi titian Siratulmustaqim
Merentangi neraka panas membara

Berdiri dalam pakaian putih bersih
Dalam qiam ku bulatkan hati
Memusatkan minda hanya pada-Nya
Pohon di putuskan dari lingkaran duniawi
Kerna, aku ingin merasa nikmat
Lazatnya ibadah mengadap Allah
Aku ingin yang ada Hanya aku dan Dia yang maha mendengar
Seperti Dia sedang ku pandang,
Dan Dia memandangku dengan ihsan dan kasih-sayang

Tuhan yang kusembah
Tempat ku berserah merayu kala hatiku gundah
Yang ku terima dengan redha qada dan qadar-Nya
Dengan rendah hati seorang hamba
Dalam rukuk dan sujud
Ku letakkan diri sekerdil mungkin
Sambil mulut basah dengan pujian pada-Nya
Berteleku antara dua sujud

Kyusu’ mengharap ampunan dan belas ihsan Allah yang maha penyayang
Bersimpuh dalam Tahiyyat
Kupacakkan ibu jari kakiku, juga telunjuk mengiyakan Shahadat
Merendahkan diri dalam lafaz pujian
Memuliakan Junjungan s.a.w.
Kusempurnakan solat seusai dua salam

Tenggelam dalam lafaz istighfar
Memohon ampun pada-Nya atas dosa dan khilaf seorang hamba
Yang hina lagi tak sempurna
Maka, ku tadah dua tangan
Memohon doa dengan sesungguhnya
Merayu dan mendayu
Penyesalan yang bersatu dalam rasa dan minda
Seiring derai airmata Ya Allah Ku pohon ampun Ya Rabbi
Atas dosa dan kekurangan diri
Kerna sesungguhnya aku hamba yang menzalimi diri sendiri
Moga janganlah Kau bebani aku
Dengan ujian yang diluar kesanggupan diri
Dan Kau tetapkan kalbuku yang Kau miliki
Agar teguh dengan petunjuk yang Kau beri
Rahmatilah ibubapaku, guru-guruku dan sahabat perjuanganku
Juga diriku yang tidak layak meminta
Dalam pelukan kasih sayangMu
Yang melindungi kami dari panas neraka yang membara
Kerna aku hanya ingin hidup dan mati
Di dalam pelukan agama
Yang Engkau redhai

Rabu, Oktober 07, 2009

Ketawa Penawar Duka 2

Ada satu bas sarat dengan ahli politik yang ingin menghadiri mesyuarat perwakilan. Ketika dalam perjalanan, bas mereka terbabas dan terbalik. Peristiwa itu tidak disaksikan oleh sesiapapun kecuali seorang pakcik tua, si tukang kebun. Tanpa membuang masa, pakcik itu membuat satu lubang besar dan menanam semua mangsa kejadian tersebut. Sejurus selepas itu, datang polis ke tempat kemalangan untuk membuat siasatan lanjut. Maka pakcik itu pun disoal siasat untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang kejadian itu. Berlakulah perbualan antara mereka:

"Pakcik ke yang tanam semua mangsa tu tadi?" tanya pegawai polis.

"Yela, saya guna cangkul ni Tuan," jawab pakcik itu sambil menunjukkan cangkul di tangannya.

"Owh, amat luar biasa tindakan pakcik tu. Takda ke mangsa yang hidup? Semua ditanam?" polis bertanya lagi.

"Semua saya tanam. Entah la ada lagi tak yang hidup, tapi masa saya tanam tadi ada bunyi tiga empat orang cakap jangan tanam diaorang. Tapi Tuan tau sajalah kan, kata-kata ahli politik ni mana ada boleh percaya. Saya buat tak tau jela." pakcik itu menjawab sambil senyum.

"Err????" pegawai itu tercengang sambil menggaru kepalanya.






Selasa, September 29, 2009

Peringatan Untuk Diri Ini: Kisah Luqman Al-Hakim

Tersebutlah suatu kisah, mengembaralah Luqman Al-Hakim bersama anaknya berkenderaankan seekor keldai tua. Mulanya mereka masuk ke sebuah perkampungan. Masa itu Luqman menunggang keldai dan anaknya berjalan membawa keldai itu. Maka berkatalah orang-orang kampung tentang kejamnya seorang ayah yang membiarkan anaknya berjalan, sedangkan dia yang lebih tua senang-lenang di atas keldai. Mendengarkan kata-kata itu, Luqman berasa tidak selesa, dia pun bertukar dengan anaknya, anaknya pula yang menaiki keldai. Masuklah mereka ke kampung yang kedua.

Di kampung yang kedua ini, kedengaran pula kejian orang-orang kampung terhadap mereka berdua. Mereka mengejek anaknya dengan mengatakan apalah teruknya seorang anak yang membiarkan ayahnya yang tua dan tidak larat berjalan, sedangkan dia yang muda dan bertenaga menaiki keldai. Mendengarkan kata-kata itu,
Luqman berasa tidak senang hati. Dia pun menukar pula,kali ini kedua-dua dia dan anaknya duduk di atas keldai. Masuklah mereka ke kampung yang ketiga.

Di kampung ini, Luqman dan anaknya sekali lagi
di ejek. Orang-orang kampung yang melihat mereka mengatakan bahawa alangkah tidak berperikemanusiaannya ayah dan anak itu kerana bertindak zalim terhadap seekor keldai yang sudah tua dan uzur. Mendengarkan kata-kata itu, Luqman berasa sedih. Dia pun menukarkan supaya dia dan anaknya berjalan di bawah membawa keldai tersebut. Perjalanan diteruskan, masuklah mereka berdua ke kampung yang keempat.

Di kampung itu, berkata-kata pula orang-orang kampung tentang bodoh dan tidak berakalnya kedua-dua orang itu yang mempunyai tunggangan tetapi tidak digunakan sebaiknya. Tersenyumlah Luqman Al-Hakim dan berkatalah dia kepada anaknya, "Wahai anakku, walau bagaimana betul pun kita, orang sekeliling tet
ap akan ada yang mengutuk dan mengata. Sesungguhnya lidah manusia itu lebih tajam dari sebilah pedang yang dapat membunuh. Ingatlah anakku, selagi mana perkara yang kita buat itu tidak bertentangan dengan aturan Allah SWT dan Rasul-Nya, janganlah kita terlalu mengambil endah kata-kata orang yang mengeji, kerana keredhaan mereka bukan yang kita cari, tetapi keredhaan Tuhan dan Rasul-Nya jua."

Ingatan ini untuk diri ini supaya selalu beringat bahawasanya sebanyak mana orang yang suka dan sanjung diri ini, sebanyak itulah juga orang yang benci dan irihati dengan diri ini.


p/s: Kerana pulut santan binasa, kerana mulut bad
an binasa.




Ahad, September 27, 2009

Peringatan Untuk Diri Ini: Apa yang dok sibuk mengata?

Tengok orang dok buat salah kita dok sibuk mengata.
Kalau yakin kita tak akan buat benda-benda tu semua dalam seumur hidup kita, boleh la! Buat apa nak mengata, kalau berani sangat pergila tegur dia. Dok sibuk mengata bukan boleh ubah dia pun. Ingatlah, tengok dengan mata jangan mudah percaya.

Tengok orang buat dosa kita dok sibuk mengata.
Cuba fikir sikit, kita lahir-lahir mak ayah dah ajar benda-benda baik, hormat orang, jangan minum arak, jangan hisap dadah, jangan melacur, dan lain-lain yang sewaktu dengannya, tetapi bagaimana pula orang yang lahir-lahir saja ke dunia dah hidup dengan mak ayah yang macam tu? Kalau benda tu semua sampai kat kita, mampu ke nak tolak? Belajar bersyukur dengan rahmat dan hidayah yang Tuhan kurnia pada kita, daripada kita dok sibuk mengata.

Tengok orang tak solat kita dok sibuk mengata.
Betul ke dia tak solat? Ntah-ntah masa kita tengok saja dia tak solat, masa lain dia solat, kita bukan 24 jam dok dengan dia. Ingatlah, ibadat itu bukan untuk manusia tengok, tapi yang menilai ibadat kita itu Allah SWT Yang Maha Mengetahui.

Dengar-dengar cerita orang kita dah sibuk dok mengata.
Bukan itu saja, kita siap tambah perasa. Ntah apa yang didengar itu betul atau tak kita sendiri pun tak tahu. Cubalah kawal lidah kita, kerana ramai yang masuk neraka sebab lidah dia. Dengar dengan telinga jangan mudah percaya, gunalah akal kita dengan sebaiknya.

Apa yang kita dok sibuk mengata orang? Cuba cermin dan lihat diri sendiri, cukup sempurna ke kita nak mengata orang lain? Tak berbuat noda dan dosa ke kita? Setiap manusia ada kekurangan dan kelebihannya. Kita manusia yang ada nafsu, kadang-kadang tak terlepas juga dari berbuat dosa, dalam kita sedar ataupun tidak.

Tengok itu salah, tengok ini salah, dengar itu salah, dengar ini salah, tak ada ke yang betul bagi kita? Bersangka baiklah setiap masa..insyaAllah kita akan nampak yang baik...
Jadi, tak perlulah mengata...



p/s : baca dengan penuh emo..haha

Rabu, September 23, 2009

Ceritera Empat Unsur

Apabila air membesarkan dirinya, telah dikatakan kepadanya engkau berbangga untuk apakah?? Sedangkan engkau itu sekadar digunapakai untuk membasuh najis manusia. Tunduk malu air mengaku menjadi hamba Allah SWT.

Apabila angin membesarkan dirinya, telah dikatakan kepadanya engkau berbangga untuk apakah?? Sedangkan engkau itu sekadar digunapakai untuk kapal-kapal manusia berlayar di laut.
Tunduk malu angin mengaku menjadi hamba Allah SWT.

Apabila ditanya kepada api, untuk apa engkau berbangga?? Sedangkan engkau itu sekadar digunapakai untuk manusia memasak makanan.
Tunduk malu api mengaku menjadi hamba Allah SWT.

Tanah tidak membesarkan dirinya,malah tunduk malu, sopan merendahkan dirinya, mengaku menjadi hamba Yang Maha Esa. Maka tanah diguna sebagai bahan utama untuk menempa lembaga Adam.


p/s: Manusia asal kejadian daripada tanah, darah manusia itu daripada air, air dipam oleh angin, haba itu daripada api.

Ahad, September 20, 2009

Peringatan Untuk Diri Ini: Janganlah...

Janganlah jadikan dunia ini syurga kerana ia hanyalah penjara bagi hamba-Nya.


Janganlah memandang keburukan pada ketentuan-Nya kerana ada hikmah di sebalik setiapnya.


Janganlah bersama untuk kehinaan tetapi bersamalah untuk kemuliaan di sisi-Nya.


Janganlah berlagak sombong dan takabur kerana itu bukan pakaian seorang hamba.


Janganlah mencari salah orang lain sedangkan salah diri sendiri diketepikan.


Janganlah membenci sebaliknya perlu menyayangi sesama insan.


Janganlah bergantung hati kepada makhluk tetapi bergantunglah kepada Pencipta.


Janganlah hanya berilmu tetapi beramallah dengannya.


Janganlah meletakkan nafsu lebih tinggi dari akal kerana akal itu tinggi tempatnya.


Janganlah berkata dusta kelak memakan diri.


Janganlah bermadah janji andai diri tidak mampu memenuhi.


Janganlah memegang amanah jika hanya ingin dipuja.


Janganlah apabila melihat orang yang dapat berjalan di air,terbang di langit dan ghaib dari mata itu wali Allah kerana sihir dan syaitan juga mampu melakukannya dengan izin yang Esa.


Janganlah terus menganggap yang buruk apabila melihat cela seseorang kerana kadang-kadang orang itu sengaja menyembunyikan kebaikannya di sebalik cela.


Janganlah mengejar pahala tanpa sedar yang dibuat hanyalah dosa semata-mata.


Janganlah membangkitkan marah orang jika diri sendiri belum mampu kawal amarah diri.


Janganlah bercakap tentang jasa diri sendiri kerana budi diri bukan pada manusia untuk dipuji.


Janganlah jadikan dunia tempat dipuja sedangkan akhirat kelak diri dihina.


Janganlah pandang wujud diri semata-mata sehingga lupa wujud Yang Maha Esa dan lupa diri ini tiada apa-apa.


p/s: jangan-jangan engkau coba...

Isnin, September 14, 2009

Maaf Zahir Dan Batin

Sempena hari raya Aidilfitri yang bakal menjelma
Kencana ingin menyusun jari
memohon sejuta kemaafan



dari ujung rambut sampai la ke hujung kaki
zahir dan batin



andai ada yang terguris
maafkanlah
andai ada yang menangis sebab diri ini
maafkanlah



andai ada yang marahkan diri ini
maafkanlah
andai ada yang dibuli(untuk orang lain selain kord je)
maafkanlah



andai ada yang membenci insan hina ini
maafkanlah
andai ada yang kata-kata diri ini melampaui
maafkanlah
andai diri ini terngorat anda
maafkanlah
andai ada yang terliur dek kuih-kuih ini
maafkanlah
hehe
:p

andai ada sumur di ladang,
boleh saya menumpang mandi
andai ada lebih lemang,
bawalah ke utp nanti



Kencana secara peribadinya
Memaafkan semua
Tiada yang terbuku di hati
Tiada yang akan dibawa mati
Sedangkan Nabi Muhammad SAW pun memaafkan
Inikan pula diri yang bodoh dan hina ini.


Sabtu, September 12, 2009

Ketawa Pengubat Duka


SAM: Tadi lampu merah, kenapa kau jalan aja?
DOL: Kat kampung aku ni, biasa jer.
SAM: Ni lampu hijau, kau berhenti pulak.
DOL: Takut terlangar orang kampung aku!

SAM: Aku ada AIDS? mana ada...
DOL: Aku baca 1 dari 10 orang kat Negara ni ada aids. Aku dah tanya 9 orang, semua tak ada aids, kau orang ke 10, tak payah tanya, aku dah tahu...

SAM: Dah dua kali perompak yang sama datang merompak kedai kita.
DOL: Tu lah aku dah cakap kat kau, jangan pasang signboard "SILA DATANG LAGI"

SAM: Dol, aku dengar bunyi batuk kau makin teruk!
DOL: Iya ke? kalau macamni aku kena banyak berlatih agar dapat batuk dengan lebih baik lagi.

SAM: Semalam aku nampak hantu!
DOL: Uih! kau terkejut tak?
SAM: Taklah.... hantu tu yang terkejur tengok aku.
DOL: Mana kau tahu?
SAM: Aku tengok muka dia pucat semacam jer.



Sumber: Melanggan Dari Hotlink Melalui SMS

Peringatan Untuk Diri Ini: Antara Dua Darjat

"Brader,tak pergi masjid ke brader?," tanya rakan A.
"Pergi dulu,aku nk solat Isya' dulu nih," jawab rakan B selamber.
"Alah wei,terawikh penting tu, ganjaran malam ni diampunkan segala dosa, melepas kang," rakan A memujuk.
"Okay-okay,kejap," rakan B bersetuju.

Ramai yang melalui kejadian seperti di atas di bulan puasa yang penuh barakah ini. Kebanyakan dari kita sibuk mengejar ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan kepada sesiapa yang beramal soleh pada bulan ini. Bagi saya, insan yang tidak tinggi ilmu diri ini, tidaklah perlu terlalu dahagakan ganjaran sehingga mengabaikan yang wajib. Berpusu-pusu ke masjid pada bulan Ramadhan, tetapi tidak pada bulan lainnya. Sedangkan Ramadhan itu adalah sekolah untuk memupuk semangat beribadah dalam diri kita untuk persediaan melalui bulan-bulan yang lain.

Syariat puasa adalah menahan lapar dan dahaga serta menghindarkan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa pada siang hari di bulan Ramadhan. Pada hakikatnya, kita perlu menahan nafsu kita dari melakukan segala larangan Allah bukan sahaja di bulan Ramadhan bahkan juga pada bulan-bulan lain. Disebabkan itulah Ramadhan itu adalah sekolah bagi melatih kita mengawal nafsu. Begitu juga untuk ibadat yang lainnya, ada juga syariat dan hakikatnya.

Ingatlah, pahala yang banyak tidak menjamin kita mendapat keredhaan Allah SWT. Tetapi ikhlas dalam menjalankannya lebih bermakna dalam konteks kita untuk berusaha menjadi hamba-Nya. Tidak guna kita utamakan yang sunat jika tidak melakukan yang wajib. Janganlah terlalu mengejar syurga sedangkan kita lupa kepada Pencipta syurga itu.

Peringatan ini untuk diri ini jua, yang kadang-kadang mengabaikan yang wajib kerana terlalu inginkan ganjaran pahala sunat. Semoga diri terus mengutamakan yang utama.

"Syariat tanpa hakikat itu hampa. Hakikat tanpa syariat itu batal"

Khamis, September 10, 2009

Kehidupanku

Lahir ke dunia nyata ni sorang-sorang,
Balik kat Dia nanti pun sorang-sorang,
Tapi hidup atas dunia tak boleh pulak sorang-sorang,
Kena ada kawan-kawan,
Kena ada rakan-rakan.
Kena ada sahabat-sahabat,
Kena ada kekanda-kekanda,
Kena ada adinda-adinda,
Kalau tidak hidup tak sempurna bagai dikata,

Aku ini bersifat baharu,
Tidak terlepas dari lupa dan alpa,
Tidak terlepas dari riak dan bangga,
Tidak terlepas dari caci dan hina,
Tidak terlepas dari puji dan domba,
Tidak terlepas jua ujian dan dugaan dari Dia,
Mungkin diri ini benar,
Mungkin diri ini salah,
Hanya Dia yang tahu segalanya,

Diri ini tidak mudah menerima,
Memegang prinsip yang satu jua,
Tengok dengan mata jangan percaya,
Dengar dengan telinga jua jangan percaya,
Percaya itu lahir dari jiwa,
Jiwa yang setahun jagung cuma,
Tetapi melalui bukti-bukti dari yang Esa,
Ditunjukkan dan dirasai didepan mata,

Jika diri ini benar,
Aku bersyukur dengan kehendak-Nya,
Dia yang menentukan hidupku selayaknya,
Tak perlu diri mempersoal,
Tak perlu diri bertanya,
Tak perlu diri memberontak,
Hanya pasrah menerima.

Jika diri ini salah,
Aku redha dengan kehendak-Nya,
Mungkin ini yang sebaiknya,
Untuk insan ini yang kerdil dan hina,
Sebab banyak berbuat noda dan dosa,
Tidak layak berada pada tempatnya,
Tapi diri terus berdoa,
Semoga berada pada jalan sebenarnya.

Jasa pada diri ini,
Tidak pernah dilupa,
Malah sentiasa diletak dikepala,
Supaya tidak lupa diri selamanya,
Sedangkan berbudi pada tanah,
Ada hasil dan labanya,
Inikan pula berbudi pada manusia,
Yang juga asalnya tanah jua,
InsyaAllah lebih bermakna,
Jika bukan dari makhluk,
Mesti dari Penciptanya,
Lagipun segalanya dari Dia jua.

Diri ini terus berdoa,
Terus berdoa,
Terus berdoa,
Dan terus berdoa,
Pesan Guruku doa itu senjata untukku,
Pesan Guruku berdoalah nescaya dimakbulkan Tuhanku,

Ya Allah,
Berilah selawat dan kesejahteraan,
Ke atas Muhammad,
Pada awal dan akhirnya,
Selawat serta sejahtera buat Muhammad,
Di dalam memenuhi ketinggian,
Sehingga hari kiamat.

Ya Allah,
Ampunilah,
Dosa-dosa guru-guruku,
Dosa-dosa ibu bapaku,
Serta dosa-dosa orang yang berbuat baik kepadaku.

Ya Allah Ya Tuhanku,
Janganlah Engkau palingkan hatiku,
Selepas Engkau memberi hidayah kepadaku,
Kurniakanlah kerahmatan,
Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.

Ya Tuhanku,
Yang membalik-balikkan hati,
Tetapkanlah hatiku,
Dengan agama Engkau,
Dan taat kepada Engkau.

Amin...Amin...Amin..Ya Rabbal 'Alamin

Rabu, September 09, 2009

Menerima Takdir Ilahi

kita sering dihujani berbagai ujian dan dugaan
tanpa sedar kadang-kadang kita mengeluh
tanpa sedar kadang-kadang kita mempertikai takdir diri
"kalaulah aku tidak buat benda tu.."
"kalaulah bukan aku yang ada kat situ..."
kalaulah...kalaulah...kalaulah...
tahukah yang kita pertikai itu takdir dari DIA??
siapa kita hendak mempersoalkan kehendak-Nya?
siapa kita hendak melawan qada' dan qadar-Nya?
siapa kita???
ingatlah rukun yang keenam
ramai yang semakin lupa dan alpa
semakin merasa diri berkuasa
melihat diri dari kacamata Pencipta
tidak melihat diri melalui pandangan sebagai hamba
wujud diri pun hanya sementara
bukan untuk selama-lama
sifat kita lemah dan hina
selalu bergantung selain DIA
cubalah..berusahalah....bersama-sama
menerima dengan redha
tanpa sedikit pun rasa curiga
yakinlah
setiap yang ditentukan ada hikmahnya
bukannya untuk suka-suka
DIA lebih mengetahui
yang terbaik dan yang paling sempurna
untuk kita makhluk-Nya
bergantunglah hanya pada DIA
nescaya hidup dalam cahaya
cahaya untuk membawa kita kepada-Nya
berpesan-pesanlah
ke arah kebaikan dan kebajikan
berpesan-pesanlah
kepada kesabaran dan kesatuan
kenalilah diri kita rata-rata
untuk mengenal DIA yang Maha segalanya

coretan ini dari seorang yang tidak tahu apa-apa jua
seorang yang juga kadang-kadang terlupa
seorang yang kadang-kadang merasa bangga
dengan ilmu yang secebis cuma
sekadar ingin mengingatkan diri
supaya meletakkan DIA di hadapan
untuk setiap masa dan ketika
hanya DIA...tiada selain DIA

Lahaulawalaquwwataillabillahi....




Selasa, September 08, 2009

Nasihat

Nasihat adalah merupakan salah satu santapan jiwa yang hadir dalam 3 wajah. Pertama,nasihat yang berupa nasihat. Sering diabaikan lantaran pendengar mengamalkan dasar anak ketam. Kedua, nasihat yang datang dalam rupa sindiran. Madunya tersembunyi dalam pahit bahasa berbunga. Ketiga, nasihat menggunakan falsafah dan madah. Manisnya penuh simbolik. Wujud kemanisan setelah dirungkai oleh penjelasan dan huraian penuh ilmu.
Bersabar dan istiqamahlah,nescaya kita dapat bersama memahami apa yang tidak difahami.

Khamis, Julai 30, 2009

Wanita bersifat Tanah

Menyelami petua-petua Melayu lama dalam memilih pasangan hidup, petua alam merupakan petua yang amat kerap digunakan dan ketepatannya terhadap realiti sebenar juga tiada diragui. Tanah, air, api dan angin adalah empat elemen yang selalu diterjemahkan untuk membaca sifat-sifat seseorang. Kadang-kadang seseorang itu mempunyai satu unsur sahaja, namun ada juga di antara kita yang mempunyai gabungan unsur-unsur itu. Dalam penulisan ini, saya tumpukan fokus kepada kaum wanita, bukan bermaksud untuk mendiskriminasi kaum lelaki tetapi kerana ianya lebih mudah diterjemahkan kepada kaum wanita berbanding kaum lelaki.

Tanah merupakan salah satu dari 4 elemen-elemen utama di bumi ini selain air, api dan angin. Adam, yakni manusia pertama yang dijadikan Allah SWT ditempa dari Tanah. Kita akhirnya nanti juga akan kembali ke dalam Tanah. Di dalam Tanah, tersembunyi 1001 macam khazanah yang amat bernilai dan bermanfaat untuk penduduk muka bumi ini. Tanah mempunyai berbagai-bagai kelebihan yang dapat digunakan manusia. Tanah yang subur memberikan sumber makanan dan pendapatan kepada kita. Tanah yang sempurna sifatnya memberikan pemandangan yang indah dan tidak akan pernah menjemukan mata melihatnya. Ia bersih, tenang dan selamat serta tidak pula membebankan pemiliknya.

Bagaimanakah sifatnya seorang wanita bersifat Tanah?

Wanita bersifat Tanah, perwatakannya selalu merendah diri dan sentiasa menghormati pasangannya. Wanita begini juga seorang yang amat setia dan sanggup berkorban demi kekasihnya yang tercinta. Sinonim dengan sifat Tanah yang merelakan dirinya dibajak, dicangkul, diperlakukan sebagaimanapun asalkan dapat berbakti sepenuhnya kepada tuan empunya.

Wanita yang mempunyai sifat Tanah tidak banyak cerewetnya,percakapannya lemah lembut dan tidak meninggi-ninggi dirinya, yakni tiada kesombongan padanya. Walaupun marah sekalipun, dia tidak akan mengherdik atau memaki,malahan cuba sedayanya untuk menjernihkan suasana. Sebagaimana Tanah, wanita ini tegas pendiriannya. Tidak akan bergoncang walau ribut datang melanda. Golongan ini mempunyai pelbagai rahsia dan kelebihan terpendam, yang sentiasa menunggu masa untuk diterokai.

Sebagai seorang Ibu, wanita bersifat Tanah amat subur fitrahnya. Sanggup menanggung kesusahan demi anak-anak yang dikasihi. Merupakan pendidik yang baik kepada anak-anaknya. Membesarkan anaknya dengan belaian yang sempurna agar menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Tetapi awas, setenang-tenang Tanah tetap mampu menenggelam dan meragut nyawa. Janganlah sesekali tersalah olahannya, kelak buruk padahnya kepada kita.

Siapa yang bersifat Tanah?

Anak sulung dalam sesebuah keluarga selalunya bersifat Tanah, begitu juga anak yang kelima.Namun tidak semestinya tepat kerana ia juga boleh ditentukan berdasarkan tarikh lahirnya. Yang lahir pada awal bulan yakni pada 1 hingga 7 haribulan juga mampu bersifat Tanah.






Rabu, Julai 29, 2009

Puisi Buat Bapa

Bapa,
Dari setitis airmu,
Tercipta satu makhluk bernama insan,
Membuatku kagum,
Akan kebesaran Allah Yang Maha Pengasih,

Bapa,
Lapar dan dahaga,
Tidak pernah menjadi halangan,
Untuk dirimu terus berusaha,
Membesarkan anakmu yang tercinta,

Bapa,
Kasihmu umpama cahaya matahari,
Sentiasa membakar diri,
Untuk kesenangan ahlimu,
Rela berpayahan,
Demi kekasih hatimu,

Bapa,
Berbekalkan hikmah dari Tuhan,
Engkau meniti hari demi hari,
Menjadikan impian anakmu,
Bukan mimpi semata-mata,

Bapa,
Kadang-kadang engkau memarahi,
Kadang-kadang engkau menasihati,
Kadang-kadang engkau tegas,
Kadang-kadang engkau lembut hati,
Membuat diri ini menyedari,
Erti kehidupan yang bakal ditempuhi,

Bapa,
Engkau mengerti diri ini,
Kerana engkau pernah melalui,
Tiada apa yang dapat aku sembunyi,
Kerana engkau lebih dulu memahami,

Bapa,
Pengorbananmu tiada terkira,
Semoga Allah jua membalasnya.

Sabtu, Julai 25, 2009

Kasih Berpanjangan Seorang Ibu

Seorang Ibu,merupakan pemupuk kasih sayang.Seorang Ibu,orang yang paling layak dicintai setiap manusia.Seorang Ibu,baktinya tidak terkira banyaknya kepada kita.Seorang Ibu,hanya Tuhan Rabbul 'Alamin dapat membalas jasa-jasanya.

Setiap insan di alam ini,mempunyai ibu yang melahirkannya,yang membesarkannya,yang menyusukannya,yang menjaganya dengan penuh kasih sayang,yang mendidiknya menjadi manusia yang berguna,yang sanggup berkorban untuknya,yang hidupnya didedikasikan sepenuhnya untuk anak-anaknya.9 bulan 10 hari seorang Ibu meletakkan hidupnya dalam kepayahan hanya untuk seorang anaknya yang dikasihi.Di saat hendak melahirkan permata hatinya,seorang Ibu mempertaruhkan nyawanya,walaupun dia berhadapan dengan maut.

Bertanya seorang sahabat kepada Rasullullah SAW,tentang lebihnya seorang Ibu berbanding seorang Bapa,Baginda memberi jawapan "IBU",ditanya berkali-kali jawapan Baginda tetap "IBU" dan kemudian baru "BAPA" menyusul.Nescaya sungguh besar kedudukan seseorang Ibu kepada manusia seluruhnya.Sehinggakan syurga yang amat diimpikan setiap mukmin itupun,tempatnya hanyalah di telapak kaki seorang Ibu.

Apakah yang dikatakan Karomah seorang Ibu?
Karomah atau keramat,bermaksud suatu perkara luar biasa yang dikurniakan Allah Azza wa Jalla kepada hamba-hambaNya yang bertakwa,selain Rasul dan Nabi.Karomah terbahagi kepada dua iaitu yang pertamanya karomah zahir seperti berjalan di atas air,mengeluarkan air dari tanah yang kontang dan berbagai lagi perkara yang mencarik adat.Keduanya,adalah karomah batin iaitu karomah yang dirasai dihati orang-orang disekeliling seperti setiap perkataan ataupun tunjuk ajar orang itu diterima tanpa ada sebarang syak wasangka.

Seorang Ibu,karomahnya tidaklah dapat dilihat oleh mata kasar,tetapi dirasai di hati.Bukanlah juga untuk manusia sekelilingnya,tetapi hanya untuk anak-anaknya yang tercinta.Salah satunya,kita ambil contoh yang mudah,yang pastinya dilalui setiap daripada kita,apabila seseorang anaknya di dalam kesulitan dan kesusahan nescaya tidak akan dapat disembunyikan dari naluri seorang Ibu.Walaupun berada beribu-ribu batu jauhnya,seorang Ibu dapat merasai apa yang dirasai anaknya.Begitulah hebatnya karomah seorang Ibu.

Siapa di dunia ini yang apabila kita membuatkan dia menangis walau setitis air mata dan menyakitkan hatinya walau secubit cuma,dihukum dengan siksaan dan balasan yang amat menyakitkan?Siapa di dunia ini yang hanya dengan mengatakan "Ahh" kepadanya,sudah dikira derhaka?Siapa di dunia ini yang hanya dengan setitik air susunya umpama segunung intan permata?Siapa di dunia ini yang kita tidak akan dapat mencium haruman,apatah lagi menghuni syurga jika menderhaka kepadanya?Tak lain dan tak bukan,itulah seorang Ibu.Jasanya kepada kita hanya Tuhan Rabbul 'Alamin sahaja dapat membalasnya.

Pesananku buat teman-temanku, yang dipesan dari arwah Ibuku,"Hargailah seseorang itu ketika dia bersama kita,janganlah kita menyesal dan mencari-cari bila dia meninggalkan kita".Berbuat baiklah kepada Ibu,kerana tanpanya tak mungkin kita lahir ke alam ini.Sayangilah Ibu seperti mana dia menyayangi kita sewaktu kita kecil.Jagailah Ibu seumpama dia menjaga kita bilamana kita ini hanya sebesar telapak tangan.Berbaktilah kepadanya bila-bila masa dia memerlukan.

Jumaat, Julai 24, 2009

Guru Mursyid

Fitrah hidup seseorang manusia yang diciptakan Ilahi sentiasa dahagakan ilmu, samada ilmu itu yang bermanfaat kepadanya ataupun ilmu yang dapat melemparkan dirinya sendiri ke lembah kesesatan. Dalam perjalanan hidup mencari ilmu, sudah semestinya kita memerlukan seorang Guru yang dapat mengajar,mendidik dan membimbing kita bagi membantu kita mendapatkan dan mempraktikkan ilmu. Ada yang berguru kepada sesama manusia,ada juga yang berguru kepada alam sekelilingnya,malahan ada juga yang berguru kepada makhluk-makhluk ghaib termasuklah Iblis Laknatullah. Penghulu kita,Cahaya segala Cahaya,Penyeri Timur dan Barat,Muhammad SAW,manusia yang dipilih dan diistimewakan Allah SWT pun ada gurunya.

Persoalannya,Guru yang bagaimanakah yang diperlukan kita bagi menjadikan kita seorang mukmin sejati?

Dewasa kini ramai yang mengaku menjadi Guru dan ramai juga yang diangkat kedudukannya menjadi seorang Guru.Tak kurang juga yang sanggup memperalatkan kedudukannya sebagai Guru untuk kepentingan diri sendiri semata-mata tanpa menghiraukan natijahnya kepada agama,bangsa dan negara.Dengan menjadi Guru,seseorang itu akan disanjung tinggi dan kebajikannya akan dijaga,justeru,ramailah yang mahu menjadi Guru,walaupun imunya hanya bohong belaka.

Dalam mencari seorang Guru,hanya Guru Mursyid sahaja yang dapat membimbing dan mengajarkan kepada kita tentang hakikat ilmu yang sebenarnya.Guru Mursyidlah yang dapat membawa kita ke "siratalmustaqim".Guru Mursyid memiliki ilmu yang sebenarnya,yakni Ilmu Haq.Kerana Guru sebegitu tidak akan menipu muridnya.Beliau mewarisi ilmu daripada Rasullullah SAW dan memegang amanah ilmu Rasullullah SAW untuk disebarkan dan diajarkan kepada sekalian manusia.Guru seperti ini mempraktikkan Al-Quran dan As-Sunnah dalam kehidupannya dan juga menggunakan hasil pengalamannya sendiri dalam menyampaikan ilmunya.

Apakah ciri-ciri seorang Guru Mursyid?

Guru Mursyid mempunyai ilmu Islam yang global,luas dan bukanlah setakat ilmu lahir tetapi ilmu rohaniah.Ilmunya meliputi pelbagai bidang seperti tauhid, ibadah, tasauf, kepimpinan, perjuangan, keluarga dan juga kemasyarakatan.Walaupun kelulusan akademiknya tidaklah setinggi mana,namun dia lebih mengetahui tentang ilmu-ilmu di dunia ini berbanding manusia lainnya.

Ilmunya itu bukan sekadar dirujuk pada kitab-kitab tetapi dia memperoleh ilham daripada Allah Azza wa Jalla.Bersesuaianlah dengan firman Allah yang maksudnya,"Bilamana seseorang itu bertakwa,maka Allah akan kurniakan ilmu padanya".Beliau juga dianugerahkan berkat dan hikmah yang membolehkannya mendapat kebaikan yang banyak dalam usahanya menyampaikan ilmu.

Seorang Guru Mursyid, ilmu yang dimilikinya bukanlah ilmu semata-mata malahan ia hidup dan menjadi darah daging pada dirinya.Ini bermaksud beliau sentiasa mengamalkan ilmu itu dalam hidupnya.Ilmu dan amal itu selari,ibarat lautan dan ombak,tak dapat dipisahkan.Tanpa ombak,sunyilah lautan dan tanpa lautan,tidak bermaknalah ombak.Amalan Guru Mursyid sungguh tepat sepertimana ilmunya.Beliau bukan bercakap kosong,tetapi berbuat seperti kata-katanya.

Guru Mursyid juga mempunyai budi pekerti yang amat tinggi nilainya.Peribadinya mendekati peribadi Nabi Muhammad SAW.Dia adalah bayangan Rasullullah SAW bila disuluh dari sudut tauhid,ibadah,akhlak,dan perjuangannya.Bahkan dialah orang yang paling kenal dengan Rasullullah SAW,malahan mampu menceritakan dan menjiwai watak Baginda.Dia juga mempunyai sifat-sifat mulia pada Rasullullah iaitu siddiq,amanah,tabligh dan fathonah.Dia mempunyai kekuatan roh dan akal yang amat mantap untuk mendidik anak muridnya.Ini dapatlah dicerminkan pada diri anak-anak muridnya.Kejayaan muridnya merupakan kejayaannya dalam mendidik mereka menjadi manusia yang berguna.Beliau juga bertanggungjawab ke atas muridnya di dunia dan akhirat.Bahkan beliau tahu setiap yang diperlakukan muridnya,hasil ilham daripada Allah SWT juga.


Khamis, Julai 23, 2009

Dunia Baru Islam

Masih basah kenangan indah

Zaman cemerlang era gemilang

Ketika Rasul ada di sisi

Para sahabat mentadbir bumi



Zaman nubuwwah era khulafa

Islam laksana api yang menyala

Menerangi teman dan juga sahabat

Bahang panasnya membakar lawan



Di celah itulah

Kami mengatur langkah

Membina sebuah thoifah



Di sini bara

Tak pernah padam

Digenggam kukuh

Sebuah azam



Ayuhlah para mujahid

Ayuhlah para mujahidah

Kita tinggalkan zaman fitnah

Agar tertegak kalimatullah

Agar terbangun.....

Dunia Baru Islam

Rabu, Julai 22, 2009

Ilmu Pembersih Hati

Apakah hakikat ilmu yang bermanfaat itu? Secara syariat, suatu ilmu disebut bermanfaat apabila mengandungi mashlahat - memiliki nilai-nilai kebaikan bagi sesama manusia ataupun alam. Akan tetapi, manfaat tersebut menjadi kecil ertinya bila ternyata tidak membuat pemiliknya semakin merasakan kedekatan kepada Zat Maha Pemberi Ilmu, Allah Azza wa Jalla. Dengan ilmunya ia mungkin meningkat darjat kemuliaannya di mata manusia, tetapi belum tentu meningkat pula di hadapan-Nya.

Oleh kerana itu, dalam kacamata ma'rifat, gambaran ilmu yang bermanfaat itu sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh seorang ahli hikmah. "Ilmu yang berguna ialah yang meluas di dalam dada sinar cahayanya dan membuka penutup hati."

Adapun ilmu yang dititipkan kepada manusia mungkin tidak lebih dari “setitis” air di tengah samudera luas. Sekalipun demikian, barangsiapa yang dikurniai ilmu oleh Allah, yang dengan ilmu tersebut semakin bertambah dekat dan kian takutlah ia kepada-Nya.

Akan tetapi, walaupun hanya "setitis" ilmu Allah yang dititipkan kepada manusia, namun sangat banyak ragamnya. Ilmu itu semakin kita kaji membuat kita semakin takut kepada Allah. Inilah ilmu yang paling berkah yang harus kita cari. Sepanjang kita menuntut ilmu itu betul niatnya maupun caranya, nescaya kita akan mendapatkan manfaat darinya.

Kerananya, jangan hairan kalau kita dapati ada orang yang rajin mendatangi majlis-majlis ta'lim dan pengajian, tetapi akhlak dan perilakunya tetap buruk. Mengapa demikian? Itu dikernakan hatinya tidak dapat terterangi oleh ilmu. Laksana air kopi yang pekat dalam gelas yang kotor. Walau diterangi dengan cahaya sekuat apapun, sinarnya tidak akan bisa menembus dan menerangi isi gelas. Begitulah kalau kita sudah tamak dan rakus kepada dunia serta gemar membuat maksiat, maka sang ilmu tidak akan pernah menerangi hati.

Padahal kalau hati kita bersih, ia ibarat gelas yang bersih diisi dengan air yang bersih. Setitik cahaya pun akan mampu menerangi seisi gelas. Bila kita menginginkan ilmu yang bisa menjadi ladang amal salih, maka usahakanlah ketika menimbanya, hati kita selalu dalam keadaan bersih. Hati yang bersih adalah hati yang terbebas dari ketamakan terhadap urusan dunia,yakni tidak bergantung kepada harta, takhta dan wanita dan tidak pernah digunakan untuk menzalimi sesama. Semakin hati bersih, kita akan semakin dipekakan oleh Allah untuk mampu mendapatkan ilmu yang bermanfaat, darimana pun ilmu itu datangnya. Disamping itu, kita pun akan diberi kesanggupan untuk menolak segala sesuatu yang akan membawa mudarat.

Kita lahir ke dunia tidak membawa apa-apa dan bila datang saat ajal pun pastilah tidak membawa apa-apa. Mengapa harus ujub, riya, takabur, dan sum'ah. Merasa diri besar, sedangkan yang lain kecil. Merasa diri lebih pintar sedangkan yang lain bodoh. Itu semua hanya setitis ilmu yang kita miliki. Padahal, bukankah ilmu yang kita miliki pada hakikatnya adalah titipan Allah jua, yang sama sekali tidak sulit bagi-Nya untuk mengambilnya kembali dari kita.



Antara Hamba dan Kuli

Setiap dari kita mengaku dirinya hamba Allah SWT,tetapi adakah benar kita ini sebenar2 hambaNya.Apakah itu hamba?adakah kita ini hamba?ataupun kita ini hanya kuli semata2?
Hamba adalah makhluk yg amat taat kepada Tuannya.Walau sebagaimanapun Tuannya memperlakukan terhadap dirinya,baik mahupun buruk,dia menerima dengan redha dan sentiasa berserah kepada Tuannya.Seseorang hamba tidak sesekali meminta balasan di atas segala jasa baktinya dan menerima balasan tanpa mempertikai akan kewajarannya.
Disebaliknya,kuli pula sentiasa inginkan balasan dalam setiap perbuatannya.Tidak menerima baik dan buruk yg telah ditentukan utknya.Walaupun tampak taat,namun hanyalah pada lahirnya sahaja,hakikatnya dia hanya mengharapkan setiap perlakuannya diperhatikan dan diberi balasan setimpal.
Dalam konteks diri kita dgn Allah Azza Wajalla,sepatutnya kita menjadi hamba yg taat bukanlah kuli yg hanya tahu meminta.Setiap amal perbuatan yg kita lakukan,janganlah diharapkan apa2 balasan,berserahlah kepadaNya utk menilai dan membalas sewajarnya.Bergantung hati hanya kepadaNya,dan bukanlah kepada makhlukNya.Dia adalah Maha Adil dan Maha Bijaksana,Dia Maha Mengetahui akan setiap hamba-hambaNya,zahir mahupun batin.Tiada apa dpt disembunyikan daripadaNya.Syurga milik Dia,Neraka milik dia,kita ini pun milik Dia,tak perlu kita menetapkan sendiri kemana hala kita.
Manakah yg lebih baik,kuli atau hamba?Kita dikurniakan akal yg cukup sempurna,yg membezakan kita dgn makhluk yg lainnya,berfikirlah sejenak dimanakah kedudukan kita.


Selasa, Julai 21, 2009

Permulaan Suatu Perjalanan

Assalamualaikum..
Bismillahirrahmanirrahim....
Selamat datang diucapkan,hihi.Tak tertahan melihat kawan-kawan sibuk menulis blog sendiri,maka diciptalah blog yang serba kekurangan ini utk ditatapi.Semoga diberikan ilham dan ilmu dari Yang Esa utk terus meluahkan dan merencanakan blog ini dari semasa ke semasa.

Awal kalam,Alhamdu lillah, bersyukur kehadrat Dia yang rohku dan kalamku milikNya,diiringi berkat Junjungan KekasihNya,Penyeri Timur dan Barat,Penghulu sekalian manusia,Muhammad SAW,disertakan berkat Guru-guru yang sempurna makrifatnya,Karomah dari Arwah ibuku,dan Hikmah ayahku yang tercinta,maka bermulalah.....

Permulaan yg dimulai rasa rendah diri,dari aku yg bersifat baharu.Sifat baharu,mesti ada permulaan,kerana yg tiada mulanya hanya Zat Dia Yang Menciptakan.Aku ni baharu,lemah tiada daya upaya,hina dan bodoh di hadapan Dia.Jikalau dibandingkan ilmuku,hanyalah umpama setitis air di 7 lautan dunia,hampa dan kosong.Janganlah diambil kata-kata dan penulisanku utk rujukan,tetapi sekadar ditatap utk dijadikan renungan..